Tuesday, December 21, 2010

CHANGE SARAWAK, WE CAN (Belaga - Kisah Orang Ulu Balui dan Orang Kaya)

Semua sedia maklum bahawa Orang Ulu Balui, rata-ratanya miskin. Ini dari kaca mata jurubank. Sebabnya Orang Ulu Balui tak banyak kertas yang bercapkan kepala Agong. Tetapi sebelum ekonomi berasaskan wang bermula, kita adalah bangsa terkaya sekali. Yakni sehingga ke hari ini pun kita masih tetap kaya. Cuba kita perhatikan perkara-perkara ini.

1.    Orang Kaya di bandar akan  mampu menternak 1 atau 2 ekor anjing sahaja. Tapi Orang Ulu Balui dahulunya mampu menternak berpuluh-puluh ekor anjing.

2.    Orang Kaya di bandar mempunyai kolam mandi atau aquarium yang ada beberapa spesis ikan dengan air dirawat. Tapi Orang Ulu Balui ada air sungai yang jernih dengan ribuan spesis ikan, ada air terjun, ada batu-batu naha dan pasir putih yang indah. Orang Ulu Balui yang dikatakan miskin  mampu makan ikan empurau yang harganya RM500 sekilo. Bayangkan.

3.    Orang Kaya di bandar ada taman kecil sebesar kaki persegi, diterangi lampu elektrik dan dibatasi pagar dihujungnya. Makala  Orang Ulu Balui yang miskin  ada taman yang diterangi dengan cahaya bulan dan kerlipan jutaan bintang dilangit. Taman ini tiada had dan penghujungnya.

4.    Orang Kaya di Bandar akan makan dengan membeli makanan di restaurant mewah, tapi Orang Ulu Balui memasak makanan mereka sendiri dengan kayu api. Kayu api yang digunakan oleh Orang Ulu Balui sama grednya dengan kayu yang dieksport ke Jepun dan negara-negara eropah. Bayangkan.

5.    Orang Kaya-kaya akan menikmati muzik melalui CD/DVD, dalam kereta ketika memandu ke tempat kerja. Tapi Orang Ulu Balui mendengar muzik dari alam semula jadi dan kicauwan burung-burung di hutan. Sambil berkerja mereka menyanyi dan menari. Mereka sihat dan panjang umur.

6.    Orang Kaya-kaya akan dilindungi dengan sistem penggera dan jeriji besi pagar rumah. Orang Ulu Balui dipagari oleh gunung-ganang dan hutan tebal. Jiran dan kawan-kawan menjadi penggera keselamatan.

7.    Orang kaya di bandar ada harta berbentuk rumah, kereta, kilang dan wang. Kesemuanya boleh habis dan musnah. Orang Ulu Balui ada tanah ratusan ribu hektar, ada balak yang setiap hari tumbuh segar dan membesar, ada air yang boleh dijual, ada sungai yang boleh menjana kuasa hidro. Kesemuanya kekal abadi.

8.    Sesungguhnya kekayaan kita berada di Hulu Balui, kembalilah kepadanya. Pertahankan tanah pusaka kita dengan bangkit merebutnya kembali. Setiap hari kita menjadi semakin miskin dengan tidak memerhatikan keindahan alam ciptaan TUHAN, tangan manusia sentiasa gatal untuk memusnahkan alam sekitar, tampa sedar dan insaf. Walau pun setelah disergah dengan kejadian log-jam baru-baru ini.

YB Liwan Lagang (ADUN for Belaga)

No comments:

Post a Comment